Thursday, March 25, 2010

SKJDK Muncul Naib Johan Bola Sepak PKG Langgar

ALOR SETAR 25 Mac. Pasukan Bola Sepak SKJDK telah muncul sebagai naib johan dalam Pertandingan Bola Sepak antara sekolah rendah kelompok PKG Langgar. Sebanyak 12 pasukan telah turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Pasukan SKJDK tewas 1-2 dengan pasukan SK Taman Rakyat. Walau bagaimanapun kedua-dua pasukan telah terpilih mewakili kelompok PKG Langgar untuk bersaing di peringkat daerah Kota Setar.

Sesuatu yang menggembirakan ialah pasukan SKJDK yang dianggap bukan pasukan pilihan mampu menewaskan pasukan pilihan seperti pasukan SK Taman Uda dan SK Hutan Kampung. Sehubungan itu kita berdoa agar pasukan SKJDK akan terus menyerlah di masa akan datang. Tahniah.

SK Jalan Datuk Kumbar Menang Pertandingan Esei

ALOR SETAR 25 Mac. Mohd Imran bin Mat Bahar, murid Tahun 6 Kaunselor SKJDK telah muncul sebagai salah seorang pemenang utama dalam Pertandingan Menulis Esei sempena Sambutan Hari TB Sedunia anjuran Hospital Sultanah Bahiyah. Selain dari wang tunai pemenang juga diberikan sijil penghargaan. Menurut Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) seramai 230 orang peserta telah menyertai pertandingan yang julung kali diadakan oleh HSB itu.

Pn. Mafuzah Marzuki,guru pengiring berkata seramai 76 orang murid SKJDK telah turut serta dalam pertandingan tersebut. Beliau juga berharap pada tahun hadapan lebih ramai lagi murid SKJDK akan menyertai pertandingan serupa itu.

Tema sambutan Hari TB Sedunia pada tahun ini ialah 'On The Move' . Sambutan pada tahun ini diadakan di ruang legar utama HSB. Antara acara lain yang turut diadakan termasuklah pameran, forum dan kuiz.


Saturday, March 6, 2010

KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS FASA 1 SK JALAN DATUK KUMBAR

ALOR SETAR: 6 Mac, Seramai 52 orang pengawas Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar telah selesai menjalani dengan jayanya Kursus Kepimpinan Pengawas Fasa 1 kelmarin. Menurut Hj. Abdul Rahim, guru pengawas SKJDK, kursus seumpamanya akan dibuat secara berperingkat-peringkat dalam usaha memantapkan sahsiah dan jati diri pengawas. Melalui kursus sedemikian, diharapkan pengawas sekolah akan lebih yakin ketika melaksanakan tugas yang diamanahkan. Kursus tersebut adalah anjuran Lembaga Pengawas dan Disiplin Sekolah.

Dalam kursus tersebut juga, guru besar, Hj. Fadzalih bin Mahmud telah membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk, "Gejala Salah Laku Di Kalangan Murid." Beliau berharap, pengawas yang merupakan pemimpin kecil, dapat menghindari gejala-gejala tidak sihat dan pelakuan tidak bermoral bagi melayakkan diri mereka menjadi contoh dan ikutan murid-murid lain.

RANCANGAN ORIENTASI SEKOLAH IPGM KAMPUS DARULAMAN

ALOR SETAR: 6 Mac. Seramai tiga orang guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Darulaman telah selesai menjalani rancangan orientasi sekolah (ROS) di SKJDK kelmarin. Pelatih-pelatih KPLI tersebut adalah dari opsyen Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dengan pengkhususan Kemahiran Hidup. Mereka ialah Jafaruddin bin Aco dari Sabah; Mohd Noralim bin Idris dari Johor; dan Mohd Naziri bin Hanafi dari Kelantan.

Dalam kunjungan hormat kepada guru besar Tn. Haji Fadzalih bin Mahmud kemarin, ketua kumpulan tersebut Mohd Noralim berharap mereka akan diberi peluang lagi untuk menjalani latihan selama tiga bulan di SKJDK mulai semester depan. Walau pun di peringkat awal mereka berasa waswas untuk menjalani latihan, namun setelah sembilan hari (21 Feb hingga 4 Mac 2010) bersama guru dan murid PKBP, mereka merasa lebih yakin untuk berhadapan dengan murid-murid kelainan upaya. Lebih-lebih lagi bila pelatih-pelatih diberi peluang oleh pihak sekolah untuk terlibat dalam terapi air bersama murid di kolam renang MBAS.

Wednesday, February 24, 2010

MESYUARAT JAWATANKUASA MAJLIS KPT KEDAH

ALOR SETAR, 24 Februari. SKJDK telah menjadi tuan rumah bagi satu mesyuarat Majlis KPT Negeri Kedah. Mesyuarat tersebut telah berlangsung di Bilik Diskusi sekolah. Menurut Encik Abu Bakar Yaakob, majlis itu turut dihadiri oleh Haji Fadzalih bin Mahmud Guru Besar SK Jalan Datuk Kumbar.
Dalam ucaptamanya Hj.Fadzalih telah menyarankan agar siri mesyuarat ke daerah-daerah dapat diteruskan sebagai satu wadah merapatkan hubungan KPT dengan pengurusan sekolah. Di samping itu dapat segera membantu ahli jika mengatasi sebarang masalah. Beliau juga berharap agar Majlis KPT dapat melebarkan jalinan perkongsian pintar dengan ahli dari negara jiran Asean.
Hj. Fadzalih juga turut merakamkan tahniah kepada ahli KPT yang telah dinaikkan pangkat ke KPT Kanan baru-baru ini.

Thursday, February 11, 2010

MAJLIS PENYERAHAN TAULIAH PENGAWAS

ALOR SETAR 10 FEBRUARI. Seramai 52 orang pengawas sekolah telah menerima tauliah masing-masing dalam satu perhimpunan mingguan Ahad lalu. Majlis penyampaian tauliah ini telah disempurnakan oleh wakil Ketua Polis Daerah Kota Setar, Cif Inspektor Zuhaimi bin Hassan. Menurut Puan Harisun Othman, Penolong Kanan HEM sekolah, upacara ini merupakan tahun kedua pihak sekolah melibatkan pasukan polis.
Sebaik sahaja selesai ucapan Tuan Guru Besar, satu ceramah mengenai 'Keselamatan Jalan Raya' telah disampaikan oleh Zuhaimi. Lebih 800 orang warga sekolah turut serta dalam perhimpunan tersebut.
Muhammad Zulfikri bin Ismail telah dilantik sebagai Ketua Pengawas. Dua orang Penolong Ketua Pengawas juga telah menerima tauliah masing-masing. Mereka ialah Mohd Farhan bin Mohd Jamil sebagai Penolong Ketua Pengawas 1 manakala Nur Izzati binti Mohd Asri sebagai Penolong Ketua Pengawas 2.

Wednesday, February 10, 2010

PERTANDINGAN AKUATIK(RENANG) MSSK

SINTOK, 9 Februari, Tiga orang atlet renang dari SKJDK telah turut mengambil bahagian dalam pertandingan akuatik MSSK yang telah diadakan di kolam renang UUM pada 4 dan 5 Februari lalu. Mereka terdiri daripada Nurul Aina bt. Emron, Abdul Wafi bin Zainal Abidin dan Shamsul Ajmal bin Abdul Salim. Menurut Cikgu Siti Nor, ketiga-tiga atlet tersebut masing-masing telah mengambil dua acara iaitu acara bebas 50 meter dan acara kuak dada 50 meter.

Ketiga-tiga mereka telah berjaya memasuki pusingan akhir kejohanan yang diadakan pada 5 Februari. Walaupun mereka gagal menyaingi peserta-peserta yang telah mewakili negeri pada tahun lalu, namun kemampuan atlet SKJDK menempatkan diri dalam pertandingan akhir merupakan satu bonus. Inilah kali pertama SKJDK menghantar atlet untuk kejohanan tersebut. Cikgu Siti Nor berharap agar atlet SKJDK akan sekali lagi dapat memberi saingan hebat dalam pertandingan yang akan datang.

Serentak dengan itu pihak sekolah berharap Cikgu Siti Nor dapat mempelopori Kelab Renang SKJDK dengan bantuan Cikgu Rafishah dan Cikgu Hanifa Bibi dalam usaha melahirkan atlet renang dari SKJDK yang dapat mewakili negeri Kedahsuatu hari nanti.

Saturday, February 6, 2010

SUKARELAWAN DARI JEPUN

Alor Setar, 5 Februari. Sukarelawan dari Jepun Puan Emiko Sugeta telah pun selesai menjalankan khidmat kesukarelaannya di sekolah ini semalam. Puan Emiko yang mempunyai pengkhususan dalam bidang pendidikan khas bermasalah pembelajaran telah mula melapor diri di sekolah ini pada 10 Januari lalu bersama Cik Tomomi Kawano yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Pendidikan Jasmani. Walau bagaimanapun Cik Tomomi hanya dapat berada di sekolah ini selama seminggu sahaja.

Seluruh warga SKJDK merakamkan setinggi terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Kedah, khususnya Pusat Khidmat Pendidikan Khas Kedah kerana sudi memilih sekolah ini bagi menempatkan sukarelawan tersebut. Semoga kehadiran mereka mampu memperkasakan lagi semangat guru-guru PKBP sekolah ini.

Thursday, February 4, 2010

KELAB BOLA SEPAK SKJDK

ALOR SETAR 4 Februari. Kelab Bola Sepak Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar telah berjaya mencipta kemenangan bergaya dalam tiga perlawanan persahabatan baru-baru ini. Menurut Penolong Kanan Ko Kurikulumnya Encik Mohamed Sutan Nasurdin, pasukan ini telah berjaya menumpaskan pasukan SK Tualang, Pokok Sena dengan 5 - 0 pada 21 Januari di tempat lawan. Diikuti dengan kejayaan menumpaskan pasukan SK Taman Uda, Alor Setar dengan 2 - 0 juga di tempat lawan pada 28 Januari lalu. Terbaru pada 3 Februari pasukan ini telah berjaya menewaskan pasukan SK Sri Perdana, Mergong, dengan 1 - 0 di tempat lawan.

Pada 6 Februari yang akan datang kelab ini akan menyertai karnival bola sepak sempena sambutan Jubli Perak SK Taman Uda. Bagi pengurus Pasukan Cikgu Shahabudin Bakar dan jurulatih kelab Encik Mohd Zahir, mereka menaruh keyakinan bahawa pasukan ini akan mampu bersaing dengan pasukan yang mengambil bahagian, sekaligus menjuarai karnival tersebut.

Sesungguhnya kelab ini mula mencipta nama setelah berjaya menganjurkan karnival bola sepaknya sendiri pada bulan November tahun lepas sempena Hari Kokurikulum sekolah.

Semoga kelab ini akan terus mencipta nama.

Wednesday, January 27, 2010

Program MeKAR

Alor Setar 27Januari; Majlis perjumpaan waris calon UPSR 2010 yang diadakan telah memberi peluang kepada pihak pengurusan sekolah menjelaskan kepada ibu bapa mengenai program meningkatkan kecemerlangan akademik murid (MeKAR). Program yang lebih holistik ini telah bermula sejak 1 Disember 2009 diharapkan dapat membantu murid sekolah ini meningkatkan pencapaian akademik yang cemerlang dan melahirkan personaliti unggul.

Sehubungan itu, pihak sekolah berharap agar program tersebut akan sentiasa mendapat kerjasama penuh daripada waris memandangkan ini bukan usaha jangka pendek. Ketua MeKAR ialah Puan Zarinah bt. Mohamad Kassim.

Kolokium Pendidikan Negeri Kedah

Sintok 25 Januari; Empat orang peserta dari sekolah ini amat teruja dengan saranan Tun Mahathir agar pendidikan berteraskan pembangunaan karektor pelajar dilaksanakan secara formal di sekolah bertujuan melahirkan genarasi yang berilmu dan berakhlak di negara ini pada masa depan.

Katanya, kini pembangunan karektor tidak berlaku secara serius, bahkan dalam pendidikan agama juga tidak berlaku secara terperinci bagi membentuk karektor supaya menjadi generasi seimbang dari segi pendidikan dan nilai diri.

" Kalau setakat bijak tetapi tidak berakhlak ia tidak berguna bahkan satu kerugian kepada negara", ujar Tun.

Sunday, January 24, 2010

KOLOKIUM PENDIDIKAN NEGERI KEDAH

ALOR SETAR 24 JAN 2010. Seramai empat orang peserta akan mewakili SK Jalan Datuk Kumbar ke Kolokium Pendidikan Negeri Kedah di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia pada hari Isnin 25 Januari 2010. Mereka terdiri daripada Guru Besar Hj. Fadzalih bin Mahmud; Yang Dipertua PIBG Ustaz Ismail bin Ahmad; Kaunselor Sekolah Azman bin Harun dan Puan Saiamah bt. Abdul Malek mewakili Program Khas Bermasalah Pembelajaran.

Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad di jangka akan menyampaikan ucaptama, manakala YB Dr Mohd Fuad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia dijangka akan menyempurnakan upacara penutup.

SEMINAR INTEGRITI WARGA PENDIDIK

Guru Besar, Tuan Haji Fadzalih bin Mahmud dan Penolong Kanan HEM, Puan Harisun bt. Othman telah mewakili SK Jalan Datuk Kumbar dalam Seminar Integriti Warga Pendidik pada hari Sabtu 23 Januari 2010. Seminar sehari tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Institut Integriti Malaysia (IIM). Tuan rumah bagi peringkat Daerah Kota Setar dan Pendang ialah Pejabat Pelajaran Daerah Kota Setar dan Pejabat Pelajaran Daeah Pendang. Seminar ini telah diadakan di Dewan Al Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah.

Objektif seminar ini adalah untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman warga pendidik mengenai Pelan Integriti Nasional (PIN), dan meningkatkan komitmen warga pendidik mengenai peranan yang boleh dimainkan dalam mengukuhkan integriti masyarakat.

Para penceramah dalam seminar tersebut terdiri daripada Mohamad Yusof bin Mohamad, Pengurus Sektor Awam IIM; Abdullah bin Yusof, Kaunselor Pentadbir, PPD Johor Bahru, dan YM Tengku Azuan bt. Tengku Mohamad, mantan Pengetua Cemerlang Jusa 'C' .

Thursday, January 21, 2010

Sekolah Ganti Sempena Tahun Baru Cina

SKJDK akan mengadakan persekolahan ganti pada hari Sabtu 23 Januari 2010 menggunakan jadual hari Rabu. Satu program latihan mencegah kebakaran akan diadakan.

Tuesday, January 5, 2010

Kembali Ke Sekolah


ALOR SETAR, 5 Januari 2010 : Pada hari Ahad, 3 Januari 2010, secara rasminya musim baru persekolahan tahun 2010 bagi Sek. Keb. Jalan Datuk Kumbar telah dimulakan. Ianya serentak dengan 1291 buah sekolah lain yang terdapat di tiga buah negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Sekolah telah menerima tujuh orang pelajar perempuan yang menetap di Darul Itam Wal Masakin, iaitu asrama anak yatim yang terletak di bawah seliaan PERKIM.

Musim baru ini juga telah menyaksikan peluasan Program Bahasa Cina telah ditawarkan untuk 40 orang murid tahun 1 sekolah ini. Sejajar dengan itu, sekolah juga telah menerima kemasukkan seorang guru baru bagi mengajar matapelajaran berkenaan iaitu Puan Ng Lee Chua. Sekolah turut menerima seorang lagi guru baru, Puan Nor Hafizah Abdul Hadi yang merupakan seorang guru Pendidikan Khas (Disleksia). Kedua-duanya telah melaporkan diri ke sekolah kelmarin. Sekian.

Friday, January 1, 2010

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2010

Buat semua yang melayari laman ini, warga Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar mengucapkan Selamat Tahun Baharu Hijrah & Masihi. Semoga tahun 2010 membuka ruang baru buat setiap daripada kita untuk pergi lebih jauh dalam sesuatu bidang atau lapangan yang kita ceburi.

Buat para guru serta staf sokongan SKJDK, bulatkan tekad kita dan lupakan sebarang perselisihan yang wujud ke arah mencapai visi dan misi sekolah. Bersamalah kita mengangkasakan martabat sekolah yang tahun ini mencecah sedekat usianya. Sekian..