Thursday, March 25, 2010

SKJDK Muncul Naib Johan Bola Sepak PKG Langgar

ALOR SETAR 25 Mac. Pasukan Bola Sepak SKJDK telah muncul sebagai naib johan dalam Pertandingan Bola Sepak antara sekolah rendah kelompok PKG Langgar. Sebanyak 12 pasukan telah turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Pasukan SKJDK tewas 1-2 dengan pasukan SK Taman Rakyat. Walau bagaimanapun kedua-dua pasukan telah terpilih mewakili kelompok PKG Langgar untuk bersaing di peringkat daerah Kota Setar.

Sesuatu yang menggembirakan ialah pasukan SKJDK yang dianggap bukan pasukan pilihan mampu menewaskan pasukan pilihan seperti pasukan SK Taman Uda dan SK Hutan Kampung. Sehubungan itu kita berdoa agar pasukan SKJDK akan terus menyerlah di masa akan datang. Tahniah.

SK Jalan Datuk Kumbar Menang Pertandingan Esei

ALOR SETAR 25 Mac. Mohd Imran bin Mat Bahar, murid Tahun 6 Kaunselor SKJDK telah muncul sebagai salah seorang pemenang utama dalam Pertandingan Menulis Esei sempena Sambutan Hari TB Sedunia anjuran Hospital Sultanah Bahiyah. Selain dari wang tunai pemenang juga diberikan sijil penghargaan. Menurut Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) seramai 230 orang peserta telah menyertai pertandingan yang julung kali diadakan oleh HSB itu.

Pn. Mafuzah Marzuki,guru pengiring berkata seramai 76 orang murid SKJDK telah turut serta dalam pertandingan tersebut. Beliau juga berharap pada tahun hadapan lebih ramai lagi murid SKJDK akan menyertai pertandingan serupa itu.

Tema sambutan Hari TB Sedunia pada tahun ini ialah 'On The Move' . Sambutan pada tahun ini diadakan di ruang legar utama HSB. Antara acara lain yang turut diadakan termasuklah pameran, forum dan kuiz.


Saturday, March 6, 2010

KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS FASA 1 SK JALAN DATUK KUMBAR

ALOR SETAR: 6 Mac, Seramai 52 orang pengawas Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar telah selesai menjalani dengan jayanya Kursus Kepimpinan Pengawas Fasa 1 kelmarin. Menurut Hj. Abdul Rahim, guru pengawas SKJDK, kursus seumpamanya akan dibuat secara berperingkat-peringkat dalam usaha memantapkan sahsiah dan jati diri pengawas. Melalui kursus sedemikian, diharapkan pengawas sekolah akan lebih yakin ketika melaksanakan tugas yang diamanahkan. Kursus tersebut adalah anjuran Lembaga Pengawas dan Disiplin Sekolah.

Dalam kursus tersebut juga, guru besar, Hj. Fadzalih bin Mahmud telah membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk, "Gejala Salah Laku Di Kalangan Murid." Beliau berharap, pengawas yang merupakan pemimpin kecil, dapat menghindari gejala-gejala tidak sihat dan pelakuan tidak bermoral bagi melayakkan diri mereka menjadi contoh dan ikutan murid-murid lain.

RANCANGAN ORIENTASI SEKOLAH IPGM KAMPUS DARULAMAN

ALOR SETAR: 6 Mac. Seramai tiga orang guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Darulaman telah selesai menjalani rancangan orientasi sekolah (ROS) di SKJDK kelmarin. Pelatih-pelatih KPLI tersebut adalah dari opsyen Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dengan pengkhususan Kemahiran Hidup. Mereka ialah Jafaruddin bin Aco dari Sabah; Mohd Noralim bin Idris dari Johor; dan Mohd Naziri bin Hanafi dari Kelantan.

Dalam kunjungan hormat kepada guru besar Tn. Haji Fadzalih bin Mahmud kemarin, ketua kumpulan tersebut Mohd Noralim berharap mereka akan diberi peluang lagi untuk menjalani latihan selama tiga bulan di SKJDK mulai semester depan. Walau pun di peringkat awal mereka berasa waswas untuk menjalani latihan, namun setelah sembilan hari (21 Feb hingga 4 Mac 2010) bersama guru dan murid PKBP, mereka merasa lebih yakin untuk berhadapan dengan murid-murid kelainan upaya. Lebih-lebih lagi bila pelatih-pelatih diberi peluang oleh pihak sekolah untuk terlibat dalam terapi air bersama murid di kolam renang MBAS.