Wednesday, February 24, 2010

MESYUARAT JAWATANKUASA MAJLIS KPT KEDAH

ALOR SETAR, 24 Februari. SKJDK telah menjadi tuan rumah bagi satu mesyuarat Majlis KPT Negeri Kedah. Mesyuarat tersebut telah berlangsung di Bilik Diskusi sekolah. Menurut Encik Abu Bakar Yaakob, majlis itu turut dihadiri oleh Haji Fadzalih bin Mahmud Guru Besar SK Jalan Datuk Kumbar.
Dalam ucaptamanya Hj.Fadzalih telah menyarankan agar siri mesyuarat ke daerah-daerah dapat diteruskan sebagai satu wadah merapatkan hubungan KPT dengan pengurusan sekolah. Di samping itu dapat segera membantu ahli jika mengatasi sebarang masalah. Beliau juga berharap agar Majlis KPT dapat melebarkan jalinan perkongsian pintar dengan ahli dari negara jiran Asean.
Hj. Fadzalih juga turut merakamkan tahniah kepada ahli KPT yang telah dinaikkan pangkat ke KPT Kanan baru-baru ini.

Thursday, February 11, 2010

MAJLIS PENYERAHAN TAULIAH PENGAWAS

ALOR SETAR 10 FEBRUARI. Seramai 52 orang pengawas sekolah telah menerima tauliah masing-masing dalam satu perhimpunan mingguan Ahad lalu. Majlis penyampaian tauliah ini telah disempurnakan oleh wakil Ketua Polis Daerah Kota Setar, Cif Inspektor Zuhaimi bin Hassan. Menurut Puan Harisun Othman, Penolong Kanan HEM sekolah, upacara ini merupakan tahun kedua pihak sekolah melibatkan pasukan polis.
Sebaik sahaja selesai ucapan Tuan Guru Besar, satu ceramah mengenai 'Keselamatan Jalan Raya' telah disampaikan oleh Zuhaimi. Lebih 800 orang warga sekolah turut serta dalam perhimpunan tersebut.
Muhammad Zulfikri bin Ismail telah dilantik sebagai Ketua Pengawas. Dua orang Penolong Ketua Pengawas juga telah menerima tauliah masing-masing. Mereka ialah Mohd Farhan bin Mohd Jamil sebagai Penolong Ketua Pengawas 1 manakala Nur Izzati binti Mohd Asri sebagai Penolong Ketua Pengawas 2.

Wednesday, February 10, 2010

PERTANDINGAN AKUATIK(RENANG) MSSK

SINTOK, 9 Februari, Tiga orang atlet renang dari SKJDK telah turut mengambil bahagian dalam pertandingan akuatik MSSK yang telah diadakan di kolam renang UUM pada 4 dan 5 Februari lalu. Mereka terdiri daripada Nurul Aina bt. Emron, Abdul Wafi bin Zainal Abidin dan Shamsul Ajmal bin Abdul Salim. Menurut Cikgu Siti Nor, ketiga-tiga atlet tersebut masing-masing telah mengambil dua acara iaitu acara bebas 50 meter dan acara kuak dada 50 meter.

Ketiga-tiga mereka telah berjaya memasuki pusingan akhir kejohanan yang diadakan pada 5 Februari. Walaupun mereka gagal menyaingi peserta-peserta yang telah mewakili negeri pada tahun lalu, namun kemampuan atlet SKJDK menempatkan diri dalam pertandingan akhir merupakan satu bonus. Inilah kali pertama SKJDK menghantar atlet untuk kejohanan tersebut. Cikgu Siti Nor berharap agar atlet SKJDK akan sekali lagi dapat memberi saingan hebat dalam pertandingan yang akan datang.

Serentak dengan itu pihak sekolah berharap Cikgu Siti Nor dapat mempelopori Kelab Renang SKJDK dengan bantuan Cikgu Rafishah dan Cikgu Hanifa Bibi dalam usaha melahirkan atlet renang dari SKJDK yang dapat mewakili negeri Kedahsuatu hari nanti.

Saturday, February 6, 2010

SUKARELAWAN DARI JEPUN

Alor Setar, 5 Februari. Sukarelawan dari Jepun Puan Emiko Sugeta telah pun selesai menjalankan khidmat kesukarelaannya di sekolah ini semalam. Puan Emiko yang mempunyai pengkhususan dalam bidang pendidikan khas bermasalah pembelajaran telah mula melapor diri di sekolah ini pada 10 Januari lalu bersama Cik Tomomi Kawano yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Pendidikan Jasmani. Walau bagaimanapun Cik Tomomi hanya dapat berada di sekolah ini selama seminggu sahaja.

Seluruh warga SKJDK merakamkan setinggi terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Kedah, khususnya Pusat Khidmat Pendidikan Khas Kedah kerana sudi memilih sekolah ini bagi menempatkan sukarelawan tersebut. Semoga kehadiran mereka mampu memperkasakan lagi semangat guru-guru PKBP sekolah ini.

Thursday, February 4, 2010

KELAB BOLA SEPAK SKJDK

ALOR SETAR 4 Februari. Kelab Bola Sepak Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar telah berjaya mencipta kemenangan bergaya dalam tiga perlawanan persahabatan baru-baru ini. Menurut Penolong Kanan Ko Kurikulumnya Encik Mohamed Sutan Nasurdin, pasukan ini telah berjaya menumpaskan pasukan SK Tualang, Pokok Sena dengan 5 - 0 pada 21 Januari di tempat lawan. Diikuti dengan kejayaan menumpaskan pasukan SK Taman Uda, Alor Setar dengan 2 - 0 juga di tempat lawan pada 28 Januari lalu. Terbaru pada 3 Februari pasukan ini telah berjaya menewaskan pasukan SK Sri Perdana, Mergong, dengan 1 - 0 di tempat lawan.

Pada 6 Februari yang akan datang kelab ini akan menyertai karnival bola sepak sempena sambutan Jubli Perak SK Taman Uda. Bagi pengurus Pasukan Cikgu Shahabudin Bakar dan jurulatih kelab Encik Mohd Zahir, mereka menaruh keyakinan bahawa pasukan ini akan mampu bersaing dengan pasukan yang mengambil bahagian, sekaligus menjuarai karnival tersebut.

Sesungguhnya kelab ini mula mencipta nama setelah berjaya menganjurkan karnival bola sepaknya sendiri pada bulan November tahun lepas sempena Hari Kokurikulum sekolah.

Semoga kelab ini akan terus mencipta nama.